Labels

Wednesday, April 17, 2013

Siri 02; AKHLAK ORANG YANG BERJIWA BESAR - IMAM AHMAD & IBN TAIMIYYAH.


Sambungan Siri 2 dari ceramah "Akhlaq Al-Kibar". Siri 1 di: ttp://abuanasmadani.blogspot.com/2013/04/siri-01-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar.html
1-        Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah, Ahmad bin Hanbal rahimahullah.
Ketika berlaku peristiwa fitnah tentang “Fahaman Yang Mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk”  Imam Ahmad telah dipenjara, dibelenggu, diseksa dan dipukul di bawah matahari terik pada siang hari Ramadhan dalam keadaan beliau berpuasa. Sehinga hilang ingatan beliau dan jatuh pengsan. 

    Setelah itu beliau dipindahkan ke tempatnya di dalam penjara, dalam keadaan berlumuran darah, padahal beliau adalah seorang Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mudah-mudahan Allah s.w.t meredhainya. Beliau adalah Imam pada zaman itu. Walaupun demikian beliau tidak mencari kemenangan untuk diri sendiri. Beliau hanya marah kerana Allah s.w.t. setelah kejadian ini beliau berkata: “Semua orang yang mengata buruk terhadap saya[1], maka saya telah menghalalkan mereka semuanya[2].”
    Beliau juga berkata, “Saya telah memaafkan Abu Ishaq[3] kerana saya melihat Allah s.w.t berfirman:” [4]
{Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani}. [Surah An-Nur:22].
    Nabi s.a.w juga menyuruh Abu Bakar r.a memaafkan seorang sahabat Mistah yang bersalah dengannya dalam kisah ifk [5].”
Lalu Imam Ahmad berkata lagi: “Apa gunanya jika Allah s.w.t menyeksa saudara muslim anda hanya kerana kepentingan peribadi anda?!
    Imam Ahmad setelah diseksa dengan seksaan yang sangat berat ini, beliau tidak membuka diari dan catatan nama-nama musuhnya. Beliau tidak mencari siapa dalang disebalik peristiwa yang menyebabkan datangnya seksaan yang meimpa beliau ini. Beliau tidak mengatakan: “Si fulanlah yang telah menjerumuskan saya ke dalam masalah ini.”
 “Si fulanlah yang membesarkan masalah ini.”
“Si fulanlah telah memberikan pandangan sinis kepada saya.”
“Si fulan tidak berbuat apa pun untuk menyelesaikan penderitaan saya.”
“Si fulan tidak mengunjungi saya setelah saya keluar dari penjara.”
“Si fulan itu telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang tidak baik terhadap saya.”
    Mungkin sebahagian orang menyangka bahawa Imam Ahmad akan mengambil tindakan terhadap orang-orang yang terlibat dalam fitnah tersebut. Apa yang jelas, beliau tidak ingin membalas dendam sedikit pun terhadap mereka.
    Sejarah juga tidak pernah mengkhabarkan kepada kita, dari biografi Imam Ahmad rahimahullah yang panjang, bahawa beliau pernah mengucapkan satupun  kenyataan yang bertujuan membela dirinya sendiri.

    2- Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah.
    Beliau adalah seorang ulama’ besar yang dituduh dan difitnah bahawa beliau telah melakukan banyak perbuatan buruk. Para ulama’ mengkafirkannya. Sultan juga memerintahkan agar beliau dibunuh. Bahkan sebahagian mereka memukul dadanya sambil mengatakan: “Darahnya berada di dalam leher saya[6]. Darah beliau dihalalkan dan beliau sentiasa dipindahkan dari satu penjara ke penjara yang lain di Damsyik dan Kaherah.
    Beliau berada dalam penjara untuk tempoh waktu yang sangat lama. Beliau dikeluarkan dari penjara sekejap dan tidak lama kemudian beliau disumbat lagi ke dalam penjara.
    Pada zamannya itu para golongan pembesar pengamal bid’ah, pengikut hawa nafsu, mereka yang dengki, yang hati mereka dipenuhi kemarahan dan hasad dengki, bersama-sama bangkit untuk menentang beliau.  Sedangkan beliau adalah seorang imam yang telah memenuhkan dunia dengan ilmu dan dakwahnya. Iaitu seorang imam yang mengekang perkembangan para pengamal bid’ah dan pengikut hawa nafsu dengan pedang-pedang sunnahnya. Kitab-kitab beliau sehingga kini menjadi saksi atas hal ini.
    Di antara musuh ketat yang paling memusuhi Syeikhul Islam, yang mengeluarkan fatwa bahawa telah halal darahnya, harus dibunuh dan telah kafir dan lain-lain lagi tuduhan, adalah seorang ulama’ dari fuqaha’  penganut mazhab Maliki. Lelaki itu bernama Ibnu Makhluf.
    Ibnu Makhluf meninggal pada masa hidupnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Murid beliau yang bernama Ibnul Qayyim mendengar khabar kematiannya, lalu Ibnu Qayyim segera berlari menghadap Syeikhul Islam, demi memberitahu khabar gembira kematian musuh terbesar dan ketat yang bernama Ibnu Makhluf.
    Ibnul Qayyim berkata: “Bergembiralah! Ibnu Makhluf telah meninggal dunia.”
    Tetapi apa tindakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah?
    Apakah beliau bersujud syukur atas kematian musuhnya itu? Apakah beliau mengatakan: “Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah menyelamatkan kaum muslimin dari keburukannya?”
    Sama sekali Ibnu Taimiyyah tidak mengatakan hal itu. Beliau tidak seperti sebahagian kita yang mengatakan: “Itu adalah batu kerikil yang telah dibuang dari jalan kaum muslimin. Kita sekarang bebas darinya.” Beliau sama sekali tidak mengatakan hal itu. Ibnul Qayyim berkata, “Bahkan beliau menegur dan memarahi perbuatan saya. Kemudian beliau beristirja’[7].”
Setelah itu, Ibnu Taimiyah terus bangkit menuju ke rumah keluarga Ibnu Makhluf untuk mengucapkan takziah di atas kematiannya. Beliau berkata kepada ahli keluarga Ibnu Makhluf:
“Saya sekarang sebagai pengganti Ibnu Makhluf dan jika kamu memerlukan  apa-apa bantuan, saya akan membantu kamu.” Sehingga seluruh keluarga Ibnu Makhluf menjadi gembira dengan kedatangan beliau dan mendoakan beliau dengan kebaikan.
Siapakah di antara kita yang pernah melakukan seperti ini? Apakah pernah seseorang dari kita menziarahi rumah musuh ketatnya kemudian ia mengucapkan takziah kepada mereka? Kemudian menenangkan hati ahli keluarga simati dan mengatakan: “Jika kamu memerlukan bantuan apa sahaja, maka saya akan melakukannya?”
    Siapakah  di kalangan kita yang pernah melakukan hal ini?
Hanya pemilik jiwa besar sahajalah yang mampu melakukannya.
    Seorang yang telah mengeluarkan fatwa bahawa anda patut dibunuh, anda telah kafir dan sebagainya, tetapi anda yang memiliki jiwa yang lebih besar dari semua itu tidak mengambil hirau tentang perkara tersebut. Anda kemudian pergi menziarahi keluarganya dan  menenangkan mereka.
    Seandainya kita semua berhias dengan akhlak ini, nescaya kita dapat memikat banyak hati manusia. Tetapi masalahnya, kadang-kadang kita melaknat orang-orang yang telah berselisih dengan kita sehingga tujuh puluh kali, dan kadang-kadang kita bermuamalah dengan mereka berdasarkan kaedah yang terdapat di dalam ayat al-Quran ini:
{Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari kalangan orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).} [Surah At- Taubah: 84]
    Sedangkan ayat ini diturunkan kepada kaum munafik, kita pula mnggunakannya  terhadap kaum muslimin yang berbeza pendapat dengan kita dengan tindakan yang keterlaluan. Maka dengan perbuatan ini, kita bertindak keras terhadap orang yang beriman. Hal ini jelas menyalahi perintah Allah s.w.t.
    Allah s.w.t  menyifatkan para sahabat Nabi s.a.w, sebagai orang-orang yang berbelas kasih terhadap sesama mereka. Firman-Nya yang bermaksud:
{Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala ang besar.} [Surah Al-Fath: 29].
    Kemudian Allah berfirman lagi kepada Nabi-Nya,
{Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang ang bertawakkal kepadaNya.} [Surah Ali Imran:159]
Ibnu Ubai bin Salul.
Tahukah kamu siapakah Abdullah bin Ubai itu?! Dia adalah ketua orang-orang munafik. Dia telah mencela Rasulullah s.a.w dan kaum muhajirin, ketika peperangan al-Muraisi’ di daerah Musyallal dengan berkata:
“Tidaklah bandingan kita dengan mereka, kecuali seperti perumpamaan orang–orang dahulu: Gemukkanlah anjingmu, nescaya ia akan memakanmu.”
    Ia mengucapkan perkataan buruk ini terhadap Rasulullah s.a.w.
    Dia juga mengatakan bahawa dia merasakan bahawa perbendaharaan langit dan bumi berada di tangannya. Dia berkata sebagaimana diabadikan Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:
{Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)". padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).} [Surah Al-Munafiqun: 7]
    Maksudnya: Kamulah (Ansar) yang memberi makan dan tempat kepada mereka (Muhajirin) kerana itu jangan memberi makan kepada mereka agar mereka keluar dan pergi dari negeri kamu (kota Madinah) dan mencari negeri lain.
Beginilah keadaan orang-orang yang berjiwa kerdil tetapi Rasulullah s.a.w adalah seorang yang berjiwa besar. Apabila Abdullah bin Ubai meninggal dunia,
Baginda memberikan bajunya kepada anak Abdullah bin Ubai bin Salul untuk dijadikan kain kafan bagi bapanya. Kemudian Baginda berdiri di atas kuburnya, meminta ampun buatnya (Abdullah bin Ubai), sehingga Allah s.w.t melarang perbuatan Baginda itu.
Ketika Allah s.w.t melarang  Baginda dengan firman-Nya yang bermaksud:
{(Orang-orang munafik itu) sama sahaja samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika Engkau (Wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; Yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.} [Surah At-Taubah: 80]
Maka Rasul s.a.w pun berkata: “Sekiranya saya tahu jika meminta ampun untuknya lebih daripada tujuh puluh kali akan member faedah, pasti saya akan melakukannya (untuk Abdullah bin Ubai).”
Lihatlah! Bagaimana tindakan Rasulullah s.a.w terhadap orang yang telah menyakitinya dan menyakiti kaum beriman?! Dia adalah dalang di sebalik ifk (khabar bohong tuduhan jahat terhadap ‘Aishah). Dialah yang menyebarkan khabar angin dan terlibat dalam menghebohkannya. Dia juga yang menuduh Rasulullah s.a.w dengan tuduhan yang paling buruk dan mengucapkan perkataan yang paling keji. Walaupun demikian, Nabi s.a.w memaafkannya,  menyembahyangkannya dan memberikan baju Baginda kepada anaknya untuk mengkafaninya, kemudian Baginda berdiri di atas kuburnya, meminta ampun baginya. Padahal Nabi s.a.w sangat mengetahui keadaannya.
Perbuatan ini tidak dapat dilakukan kecuali oleh orang-orang yang hatinya ada sifat belas kasihan,  berjiwa besar dan  sangat berlapang dada.
Apa yang perlu saya ingatkan di sini, bahawa hal ini bukan bererti kita tidak memperdulikan masalah “Al-Wala’ wa Al-Baraa’. “Sebab Al-Wala’ wa Al-Bara’”  adalah satu kaedah yang tetap dalam agama  ini dan tidak pernah berubah seperti yang saya sebutkan pada awal perbincangan.
Kita perlu membezakan di antara dua perkara ini: di antara kedudukan”Al-Wala’ wa Al-Bara’” dengan “kepentingan  peribadi”. Al-Wala’ wa Al-Bara’ dengan tetap teguh dalam hati. Adapun kepentingan peribadi perlu ditinggalkan di belakang anda. Jangan mencari kemenangan kerana kepentingan peribadi. Jangan hanya setakat itu perjuangan kita.
Orang-orang yang berjiwa besar tidak patut sibuk dengan hal dirinya sendiri sahaja, seperti iri hati kepada seseorang, masalah khusus dengan orang itu, masalah peribadi dengan yang lain pula. Serta lain-lain masalah peribadi yang tiada kepentingan bagi ummah dan agama,
Orang seperti ini tidak patut menjadi daie. Orang seperti ini lebih banyak membuat kerosakan daripada membaiki. Ada sedikit salah faham sahaja, dia terus mendoakan si fulan dan melaknat si fulan dalam sepertiga akhir malamnya. Malah meneriakkan dengan lantang bahawa dia tidak akan memaafkan si fulan sehingga mereka berdua berdiri di hadapan Hakim Yang Paling Adil pada hari kiamat nanti iaitu Allah s.w.t.
Tindakan seperti inilah yang dilakukan oleh beberapa orang yang berjiwa kerdil. Orang seperti ini tidak patut untuk terjun dalam dunia dakwah. Sama sekali tidak layak untuk mengajak dan menyeru orang ramai. Sewajarnya orang seperti ini perlu mengajak dan menyeru dirinya sendiri, menyembuhkan hatinya kemudian barulah dia boleh berusaha memperbaiki orang lain.
Jika dalam keadaan seperti ini dia terlibat dalam dakwah, dia akan menyebabkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Selalu sahaja ada masalah dengan si fulan dan mewujudkan permusuhan dengan orang yang ketiga. Akhirnya orang-orang yang didakwahnya akan melepaskan diri darinya dan tinggallah dia sendirian.
Ketika Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah diserang penyakit yang membawa kepada kematiannya, beliau bukan berada di hospital atau di istana, tetapi di dalam penjara dan beliau dilarang membuat apapun, sehingga pen dan kertas sekalipun tidak diberi. Ini semua akibat provokasi dari golongan ahli bid’ah, para pembesar yang sesat dan mereka yang dengki.
Pada saat akhir ini, beberapa orang ahli bid’ah telah terbuka hatinya untuk berjumpa Syeikhul Islam di penjara dalam keadaan dibelenggu, untuk meminta maaf. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah tidak sesekali mengatakan: “Baru sekarang kamu mahu meminta maaf, kenapa tidak dari dulu?! Tidak mungkin saya memaafkan, mengampunkan atau menghalalkannya!!”
Beliau sama sekali tidak mengatakan hal itu tetapi beliau mengatakan: “Saya telah memaafkan anda dan semua orang yang menyakiti saya kerana saya tidak tahu bahawa adakah saya dalam kebenaran.” Beliau mengatakan: “Saya juga telah memaafkan Sultan Nasir yang memenjarakan saya. Sebab dia melakukan hal itu kerana mengikut nasihat dan pandangan orang lain.”
Orang yang berada dalam martabat seperti ini, hatinya telah bebas dari perasaan hasad dengki. Bukan seperti orang yang tidak dapat tidur kerana benci dan ingin membalas dendam terhadap orang yang menyakitinya, kemudian dia mati seperti belum sempat membalas dendam dan belum sempat membuat perhitungan.
    Ciri-ciri yang ada pada beliau bukan seperti orang yang ingin membuat perhitungan terhadap musuh-musuh yang menghinakannya, yang ingin membunuhnya dan merasa tenang dengan pemergiannya dari dunia ini.
Beliau sama sekali bukan seperti itu. Beliau tidak mengatakan: “Sekarang saya meninggal dengan dengan hati yang sangat pedih.” Tetapi dia mengatakan: “Saya telah memaafkan semuanya.”  Bahkan lebih mulia dari perbuatan ini. Semasa terjadi revolusi terhadap raja An-Nasir maka seluruh kekuasaannya hilang dari genggamannya. Pemimpin revolusi ini adalah seorang lelaki yang bernama Raja Muzaffar, Ruknuddin Baybars.
Lalu para ulama’, fuqaha’, hakim dan para pendengki yang berusaha untuk menyebarkan fitnah terhadap Syeikhul Islam sebelum ini, dengan segera berduyun-duyun mendatangi raja baru tersebut. Mereka menjadi kaki tangan dan selalu menjadi pelindung kepada raja ini sebagaimana yang mereka lalukan terhadap raja yang telah digulingkan tadi.
Mereka segera meninggalkan raja lama dan mula mencari pengaruh di sisi raja baru. Akhirnya mereka menjadi kaki tangan, orang yang dekat dengannya dan sekutu-sekutunya. Namun tidak lama kemudian, raja An-Nasir berjaya meraih kembali kerajaannya.
Raja An-Nasir kembali duduk di atas singgahsana kerajaannya kemudian mengumpulkan semua para ulama’, fuqaha’ dan hakim yang telah mengkhianatinya. Raja  An-Nasir menyuruh mereka semua duduk dihadapannya. Mereka semua menunduk tidak tahu apa yang akan dilakukan terhadap mereka.
Mereka tidak tahu bagaimana raja akan membalas dendam terhadap perbuatan mereka ketika mereka berpaling dan mengerumuni musuh raja kerana mereka tidak mempunyai kesetiaan terhadap raja ini.
Ketika mereka dalam keadaan tunduk dan sangat takut itu, tiba-tiba muncul seseorang dari jauh. Pada mulanya, mereka tidak mengenali siapa lelaki itu. Ketika lelaki itu semakin dekat, rupa-rupanya itu adalah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang sebelum ini berada dalam penjara. Rupa-rupanya raja An-Nasir telah memerintahkan agar beliau dilepaskan dan datang menghadapnya pada ketika itu.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berdiri di tengah-tengah mereka lalu Raja An-Nasir berkata: “Sekarang telah tiba waktu anda untuk berfatwa bagi membalas fatwa mereka agar mereka dapat disembelih dengan betul mengikut Syariah Islam.”
Kemudian raja bangkit dan berjalan menuju kepada Syeikhul Islam sambil menunjukkan rasa hormat dan sikap yang sangat memuliakan. Padahal perkara itu bukan kebiasaan terhadap beliau kerana dialah yang memindahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dari satu penjara ke penjara yang lain.
Raja terus berjalan menghadap Syeikhul Islam dan memberi penghormatan dan kemuliaan. Kemudian dia memeluk Syeikhul Islam dan membawanya ke tempat yang sunyi di sudut istana untuk berbincang dengan beliau secara rahsia. Dia bertanya kepada Syeikhul Islam: “Apa pendapat anda terhadap orang-orang itu?!”
Syeikhul Islam berkata (dalam hati): “Sekarang saya tahu bahawa dia sangat marah dan ingin membalas dendam terhadap mereka demi kepentingan peribadinya.”
Perhatikan, dia tidak membalas dendam demi Syeikhul Islam, tidak pula demi agama tetapi demi kepentingan diri kerana mereka telah meninggalkannya dan berpaling tadah darinya.
Ibnu Taimiyah bercerita: “Ketika saya mengetahuinya, saya mula menyanjungi, menyebut kebaikan para ulama’ itu, mensyukuri mereka dan saya mengatakan: Seandainya mereka menghilangkan diri dari daulah (Negara) ini pasti anda menyesal kerana daulah ini tidak dapat berdiri tanpa adanya mereka. Puncanya mereka adalah para hakim negara, para ulama’ dan para fuqaha’ nya.”
Ibnu Taimiyah menyambung lagi: “Setelah itu Raja mengeluarkan beberapa kertas dari saku bajunya yang didalamnya tertulis fatwa-fatwa dari tulisan tangan mereka.”
Raja berkata: Lihatlah! Apakah yang dikatakan oleh mereka terhadapmu?! Mereka telah mengkafirkan kamu dan berfatwa agar kamu dibunuh. Tulisan ini sentiasa tersimpan dalam dokumen saya. Sekarang telah tiba waktu  untuk kamu membalas mereka.” Raja bertindak sedemikian kerana ia ingin mencari kemenangan buat dirinya.
Seandainya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang dizalimi ini memiliki jiwa yang kerdil nescaya beliau akan mengambil peluang membalas dendam dan sangat mudah bagi beliau untuk berselimut dengan selimut akidah dan sunnah demi melangsaikan dendamnya terhadap mereka kerana mereka adalah ahli bid’ah. Jadi negara harus diselamatkan dari mereka.
Tetapi Syeikhul Islam menjawab: “Bagi saya, saya telah memaafkan mereka.” Kemudian Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menenangkan hati raja dan terus memujuknya agar membiarkan mereka tetap hidup dan tidak perlu dibunuh.
Semenjak peristiwa ini, pengajian Syeikhul Islam telah tersebar di seluruh masjid, halaqah dan majlis-majlis ilmu. Kemudian muncullah ramai para pengikut, penyokong dan pembantu beliau.
Sementara, orang-orang yang dulunya sangat keji dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memusnahkan beliau, mula mendekati dan berbuat baik kembali kepada Syeikhul Islam agar beliau memaafkan kesalahan mereka.
Kita dapat melihat, beliau sama sekali tidak berdiri di hadapan mereka satu persatu sambil menahan dan menanyakan: “Kenapa kamu menyebut perkara ini? Apa yang mendorong kamu untuk melakukannya?”
Tidak..!! Beliau sama sekali tidak melakukan perkara itu. Bahkan beliau telah menutup jangan sampai hal ini terjadi dengan terus mengatakan: “Saya telah memaafkan kamu semua dan telah melupakan apa yang terjadi.”
Syeikhul Islam sama sekali tidak memisahkan manusia kepada dua bahagian: golongan yang membela beliau ketika dalam kesusahan dan golongan musuh yang menghina beliau ketika beliau dalam kemelaratan, yang patut mendapat kecaman atau cercaan. Beliau tidak melakukan hal ini. Bahkan, beliau mengatakan: Peristiwa ini sudah dilipat bersama permaidani.”
 Apabila beliau telah menulis surat kepada kawan-kawan dan para pengikutnya di Damsyik, demi memperingatkan mereka tentang peristiwa ini. Jangan sampai seorang pun dari mereka mengundur dan memutarkannya kembali. Beliau mengatakan:
“Pertama sekali yang ingin saya ingatkan kepada kamu adalah berkenaan dengan diri peribadi saya. Kamu tahu! Saya sangat tidak menyukai jika ada seseorang yang disakiti dari kaum muslimin kerana saya. Lebih-lebih lagi sahabat- sahabat saya secara zahir mahupun batin. Sama sekali saya tidak pernah memiliki keinginan untuk mencaci atau mencela orang-orang yang telah memfitnah saya sedikit pun. Justeru, sebaliknya mereka memiliki kedudukan yang sangat tinggi, mulia dan luhur di sisi saya  berlipat ganda.”
Sebab manusia tidak terlepas dari tiga golongan: kalau bukan seorang mujtahid (ahli ijtihad) yang benar, seorang mujtahid yang salah atau seorang pelaku kesalahan yang berdosa.
Maka yang pertama pasti mendapat pahala dan disyukuri oleh Allah s.w.t. sementara yang kedua ia tetap mendapat pahala akibat ijtihadnya dan kesalahannya dimaafkan. Adapun yang ketiga, mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni saya dan seluruh kaum muslimin.”
Beliau sudah menyimpan semua peristiwa yang sudah berlalu itu sehingga tidak ada seorang pun yang mengatakan,
“Si fulan telah bersikap meremehkan.”
“Si fulan mengerjakan apa pun.”
“Gara-gara si fulan inilah Syeikhul Islam diseksa bertubi-tubi.”
“Si fulan inilah penyebab fitnah ini.”
Kata-kata lainnya yang berisi celaan terhadap sebahagian saudara dan kawan. Beliau telah melupakan semuanya sehingga tidak terjadi perkataan seperti itu.
“Sungguh! Saya tidak akan memaafkan siapa sahaja yang menyakiti mereka[8] hanya kerana mereka menyalakan api fitnah ini,” kata beliau.
Kemudian beliau meneruskan: “Kamu juga tahu bahawa yang terjadi dari bentuk “penyesatan” atau “penghinaan” terhadap sebahagian sahabat atau saudara itu sama sekali bukan pengurangan atau ketidaksempurnaan pada orang yang dituduh sesat atau dihina. Itu tidak pula terjadi kerana adanya perubahan pada diri kita atau sebahagian kita.
Justeru setelah terjadinya penghinaan dan penyesatan (pengkafiran) terhadap seseorang maka darjat seseorang itu menjadi lebih tinggi dan lebih disukai oleh Allah s.w.t kerana peristiwa-peristiwa ini tidak akan terjadi kecuali untuk kemaslahatan (kebaikan) kaum mukminin dengan Allah s.w.t mengadakan islah (perbaikan) pada sebahagian mereka atas sebahagian yang lain.
Sebab seorang mukmin yang lain, seperti dua tangan. Satu sama lain saling mencuci dan membersihkan. Sikap mencuci atau membersihkan ini tidak akan terjadi kecuali jika ada kekotoran atau persengketaan pada salah satunya. Sehingga hal itu memerlukan pembersihan dan kelembutan yang menjadikan persengketaan itu hilang sama sekali.”
Kemudian beliau mengingatkan mereka agar sentiasa saling membantu dalam kebaikan dan ketaqwaan juga mengingatkan mereka bahawa orang-orang yang tidak hadir atau menghadap beliau tidak mengucapkan salam dan tidak pula memberikan ucapan selepas beliau keluar dari penjara. Sesungguhnya mereka tidak patut dicela atau dicaci tetapi mereka memiliki kedudukan yang sangat tinggi lebih berlipat kali ganda dan lebih tinggi dari sebelumnya.
Beliau mengatakan bahawa permasalahan-permasalah seperti ini tidak terlepas dari ijtihad. Barangsiapa bersungguh- sungguh dalam mencari kebenaran bererti ia mendapat pahala dan Allah s.w.t pasti mengampuni kesalahannya.
Beliau menjelaskan sesungguhnya ujian seperti ini tidak terjadi kecuali dengan bisikan syaitan kerana itu kita harus melupakan kesalahan-kesalahan itu.
Beliau juga mengatakan bahawa perkara-perkara seperti ini adalah permasalahan yang banyak diwarnai kebohongan dan kecacatan lalu beliau mengingatkan mereka dengan kisah ifk (bohong) yang terjadi pada keluarga Rasulullah s.a.w dan bahawasanya kisah itu bukan suatu keburukan bagi orang yang terkena fitnah. Di situ Allah s.w.t berfirman :
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).
( Surah An-Nuur:11)
    Syeikhul Islam memaparkan bahawa Allah s.w.t telah menampakkan kebenaran atas beliau dan memperjelaskannya. Beliau sangat membenci jika dibela hanya kerana ada seseorang yang mencaci atau memusuhi beliau kerana beliau telah memaafkan seluruh kaum muslimin dan beliau menyukai kebaikan bagi mereka semua sebagaimana menyukai untuk diri beliau.
Sedangkan orang-orang yang berdusta dan berbuat zalim terhadap beliau maka secara peribadi mereka telah dimaafkan. Adapun pada sisi Allah maka jika berkehendak Dia akan memaafkan atau menyeksa mereka.
Beliau meneruskan: “Jika ada seseorang[9] yang disebut-sebut kerana keburukan perbuatannya maka akan saya usir dari sini orang yang menyebutnya[10]kerana tindakannya yang buruk terhadap saya.”
Wahai saudara sekamu…
Siapakah di antara kita yang mampu melakukannya?! Siapakah di kalangan kita yang sanggup bermuamalah dengan para musuhnya dengan kaedah seperti ini?!
Oleh kerana itulah Ibnu Makhluf yang merupakan musuh ketat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dari mazhab Maliki yang sudah saya sebutkan berkata: “Kami tidak pernah berjumpa orang seperti Ibnu Taimiyah. Kami telah berusaha bersungguh-sungguh melakukankan segala usaha untuk membinasakannya tetapi ketika mampu membalas dendam kepada kami, dia mengampuni kami.”
Wahai saudara sekamu…
Dengan akhlak seperti ini kita dapat menarik dan memikat hati para manusia. Kita dapat mengambil hati para musuh. Lebih-lebih lagi para kawan dan pengikut.
Ingatlah! di sekeliling ulama’, penuntut ilmu atau daie ada beberapa orang murid. Kemudian sorang alim bermuamalah terhadap mereka dengan kaedah yang mementingkan keperluan peribadi, maka secara automatik para murid itu tidak mampu bersabar untuk terus berada di sekelilingnya.
Mereka juga tidak mungkin menghasilkan suatu amal yang mampu dipersembahkan dan bermanfaat bagi umat ini. Hal ini kerana mereka dalam waktu yang singkat pasti meninggalkan orang alim tadi lalu pergi dan berubah menjadi musuh bagi  orang alim tersebut, penuntut ilmu atau daie tadi. Mereka juga secara berterusan akan melancarkan serangan terhadapnya.
Wahai saudara sekamu…
Bahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, semasa di Kota Kaherah pernah bersendirian bersama beberapa kelompok ahli bid’ah. Mereka memukul dan mencaci beliau lalu hal ini didengari oleh seluruh manusia sehingga para pemimpin, para pemuka, para panglima, para tentera dan orang-orang awam mencari-cari Syeikhul Islam demi membalas dendam terhadap beliau.
Mereka terus mencari sehingga mendapati beliau di suatu masjid di atas laut. Mereka berkumpul di sana. Kemudian, para manusia yang lain ikut bergabung dan ingin mendengarkan apa yang sedang terjadi.
Mereka berkumpul di sekeliling beliau dan berkata: “Wahai Syaikh! Telah datang kepada kamu seluruh kelompok Husainiyah. Jika anda memerintahkan mereka untuk menghancurkan Mesir secara keseluruhan mereka pasti melaksanakannya.”
Beliau tidak mengatakan: “Mereka adalah ahli bid’ah dan membawa kesesatan. Mereka telah berbuat ini dan itu. Bakarlah mereka. Tamatkan riwayat mereka dan bebaskan negeri ini dari mereka.”
Sama sekali Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah tidak mengatakan hal itu kerana masalah ini hanya melibatkan  dengan kepentingan peribadi beliau.
Justeru beliau bertanya: “Untuk apa hal ini?”
Mereka menjawab: “Untuk membalas dendam terhadap kamu.”
Beliau berkata: “Ini tidak patut dilakukan.”
Mereka meneruskan: “Kalau begitu kami akan pergi ke rumah orang-orang yang menyakiti kamu sahaja supaya tidak merosakkan pergi ke rumah-rumah mereka dan menghancurkannya tanpa merosakkan rumah orang lain kerana mereka telah mendatangkan kekeliruan terhadap manusia.”
Perhatikan bagaimana cara mereka mengambil redha dari Ibnu Taimiyah. Alasan yang pertama untuk memenangkan Ibnu Taimiyah tetapi beliau menolak. kemudian mengulangi permintaan lagi dengan alasan bahawa para ahli bid’ah adalah para pencetus fitnah yang mendatangkan kekeliruan di antara manusia tetapi beliau tetap mengatakan bahawa hal ini tidak patut dan tidak halal dilakukan.
Kemudian mereka berkata lagi: “Kemudian yang dilakukan mereka terhadap kamu, apakah ini suatu perbuatan yang halal? Ini adalah perbuatan yang kami tidak dapat bersabar terhadapnya. Kami perlu pergi mendapatkan mereka dan memeranginya.”
Tetapi beliau terus melarang dan mencegah mereka agar tidak melakukan hal itu.
Ketika mereka terus mendesak, beliau pun berkata, “Sebenarnya jika kebenaran itu tidak bersama saya maka mereka berada dalam kehalalan[11]. Jika kebenaran bersama kamu, jika kamu tidak mendengar ucapan saya dan tidak meminta fatwa dari saya, maka laksanakanlah apa sahaja yang kamu inginkan dan jika kebenaran itu demi Allah s.w.t akan membalasinya siapa sahaja.”
Mereka bertanya lagi: “Perkara yang mereka kerjakan sekarang ini, apakah ini suatu kehalalan?!”
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menjawab: “Justeru mereka boleh mendapat pahala dari perbuatan itu.”
Mereka berkata: “Kalau begitu anda berada dalam kebatilan sementara mereka berada dalam kebenaran?! Bagaimana kamu mengatakan bahawa mereka mendapat pahala dari hal itu?!”
Beliau menjawab: “Sesungguhnya urusan ini tidak seperti yang kamu duga. Boleh jadi mereka berijtihad dalam hal ini dan salah dalam ijtihadnya sehingga dalam beramal, mereka bertindak sesuai untuk ijtihad ini dan mereka mendapat pahala.”
Wahai saudara sekamu…
Mustahil orang-orang yang memukul tubuh beliau dan mencaci beliau adalah para pelaku bid’ah dan kesesatan. Kemudian dikatakan: “Mereka layak memperoleh pahala?”
Siapakah kita dibandingkan dengan beliau dan para ulama’ lain yang seperti beliau?
Bahkan pernah seorang ahli bid’ah yang merupakan seorang ahli fiqh menghadap Ibnu Taimiyah di tempat yang sunyi, di sana tidak ada seorang pun lalu dia berbuat tidak patut terhadap Syeikhul Islam. Dia mencaci dan mengumpat beliau habis-habisan.
Masyarakat mendengar peristiwa ini sehingga mereka semua mendatangi Syeikhul Islam kerana hendak membelanya. Ahli bid’ah mendengar hal ini. Akhirnya dia mula bersikap lemah lembut dan mencari Syeikhul Islam. Dia menduga Syeikhul Islam akan akan mencari kemenangan buat dirinya tetapi Syeikhul Islam menjawabnya denagan ungkapan singkat: “Saya tidak mencari kemenangan buat diri saya.” Sehingga orang itu merasa selesa, tidak takut dan boleh tidur dengan tenang.
Wahai saudara sekamu…
Mereka adalah kaum yang berbeza pendapat dengan Syeikhul Islam dalam masalah aqidah (usul) dan manhaj (kaedah). Sedangkan khilaf (perselisihan pendapat) dalam masalah-masalah far’iyyah (cabang), maka hukumnya seperti yang tadi disebutkan; kita harus berlapang dada.
Ini adalah yang paling patut dan paling utama kerana khilaf dalam masalah ilmiah ijtihadiyah dan far’iyyah adalah suatu hal yang biasa dan pelakunya yang mukhalif[12], tidak layak dikatakan sebagai seorang yang sesat, seorang pelaku bid’ah atau pengikut hawa nafsu jika memaksudkan kebenaran dengan hal itu.
Selalunya masyarakat berbeza pendapat dalam masalah far’iyyah tetapi para pemilik jiwa kerdil menjadikan masalah itu sebagai suatu perkara yang sangat besar, yang memerlukan perdebatan panjang yang mengakibatkan orang yang berada dengannya menjadi musuh baginya sehingga ia menghadap kamu dengan wajah lain. Dia tersenyum sinis kepada kamu dan di dalam hatinya menyimpan rasa benci kerana telah terjadi perbezaan pendapat dengan kamu dalam masalah furu’ (cabang).
 Yunus As-Sadafi berkata tentang Imam Asy-Syafi’e: “Saya tidak pernah  bertemu dengan orang yang lebih hebat dari Asy-Syafi’e. Pernah suatu hari saya ber-munazorah[13] dengannya dalam satu masalah kemudian kami berpisah. Ketika bertemu, beliau terus menggenggam tangan saya dan berkata: “Wahai Abu Musa! Apakah salah jika kita tetap menjadi saudara meskipun kita tidak bersefahaman dalam sesuatu masalah?[14]”.



[1] Maksudnya: menjerumuskan dan mengadukan beliau kehadapan khalifah sehingga diseksa seperti ini.
[2] Maksudnya: Saya tidak membencinya dan tidak pula mendoakan keburukan baginya tetapi saya memaafkannya.
[3] iaitu Al- Mu’tashim, khalifah yang menangkap dan  menyeksanya.
[4] Ayat ini mengenai Abu Bakar r.a bahawa dia tidak akan memberi apa- apa kepada kerabatnya atau pun orang lain yang terlibat dalam menyiarkan berita bohong tentang diri Aisyah. Maka turunlah ayat ini melarang beliau melaksanakan sumpahnya itu dan menyuruhnya memaafkan serta berlapang dada terhadap mereka sesudah menerima hukuman atas perbuatan mereka itu.
[5] Iaitu fitnah yang menuduh Aisyah r.ha.
[6] Maksudnya, dialah yang akan membunuh Syaikhul Islam ini.
[7] Istirja’ iaitu mengucapkan, “Innalillahi wa Innailaihi Raji’un.”
[8] Maksudnya adalah mereka yang menfitnah dulu dan melemparkan Syaikhul Islam ke penjara
[9] Dari orang-orang yang telah mendatangkan fitnah terhadap beliau.
[10] Yakni dari para murid, pengikut dan sahabat yang ada di sekelilingnya.
[11] Yakni haram menyakiti mereka.
[12] Orang yang berselisih pendapat dengan kita.
[13] Munazharah adalah berdiskusi dan berdebat dalam sesuatu masalah.
[14] Siyar A’lamin Nuabala’: 10/16.